nuffnang

Pages

KEJAYAAN MALAYSIA PERTAHAN 50 TAHUN DEMOKRASI BERPARLIMEN WAJAR DIBANGGAKAN

Thursday, September 10, 2009

Sumber: New Sabah Times
9th September, 2009

KUALA LUMPUR: Jumaat ini (11 Sept) genap 50 tahun usia Parlimen Malaysia, setelah sekian lama ia berfungsi dengan jayanya sebagai badan perundangan yang menjadi simbol penting kepada sistem demokrasi sejak negara mencapai kemerdekaan 52 tahun lalu.
Pada 11 Sept, 1959, seramai 104 wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya umum pertama Tanah Melayu selepas Merdeka (19 Ogos, 1959), telah mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat yang pertama di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang (sekarang bangunan Pusat Pelancongan Malaysia).
Di sebalik peranan penting Parlimen sebagai satu daripada tiga komponen utama sistem pemerintahan demokrasi negara, mungkin ramai di antara kita yang kurang mengerti makna di sebalik usia setengah abad institusi ini.
“Entah, saya tak tahu,” kata seorang eksekutif muda ketika ditanya tarikh rasmi terbentuknya Parlimen Malaysia manakala rakannya pula hanya tersipu ketika ditanya tentang signifikannya sambutan ulang tahun ke-50 Parlimen itu.
Namun bagi mereka yang menjadi tunggak dan penggerak Parlimen, kejayaan kerajaan dan rakyat mengekalkan sistem demokrasi berparlimen sejak 1959 sehingga sekarang, seharusnya menjadi kebanggaan seluruh rakyat.
“Ini bermakna kita berjaya mempertahankan sistem demokrasi berparlimen selama 50 tahun, sedangkan ada negara lain yang sama-sama mencapai kemerdekaan ketika itu telah mengalami perubahan demi perubahan pada sistem politiknya.
“Ada negara yang pada mulanya mengamalkan demokrasi, lepas tu rampasan kuasa, buat lagi perlembagaan baru, demokrasi balik, rampasan kuasa balik. Tapi Alhamdulillah di Malaysia setakat ini kita dapat pertahankan kecuali apa yang berlaku pada 13 Mei (1969),” kata Tan Sri Pandikar Amin Mulia kepada Bernama baru-baru ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata sekalipun peristiwa 13 Mei itu menyebabkan Parlimen digantung selama kira-kira 10 bulan, kuasa menentukan pentadbiran kerajaan Malaysia telah dikembalikan kepada rakyat selepas keadaan tenteram semula.
“Inilah amalan demokrasi yang bertahan sehingga sekarang dan walaupun ada yang berkata kebelakangan ini ada kekalutan, kenyataannya ialah institusi Parlimen ini masih teguh,” katanya.
Pandikar berkata keutuhan institusi Parlimen yang menjadi nadi kepada sistem demokrasi selama ini menyumbang kepada kestabilan negara secara keseluruhan dan meletakkan Malaysia di tempat sekarang.
Sejak mesyuarat pertama Parlimen pertama dirasmikan pada 12 Sept 1959, Malaysia kini berada di bawah Parlimen ke-12, yang penggalnya akan berakhir pada 2013.
Pandikar pula yang mengisi jawatan itu sejak April 2008, adalah Yang Dipertua ke-8 kepada badan perundangan itu.
Umumnya peranan Parlimen adalah sebagai penggubal undang-undang dan setiap anggotanya, sama ada yang dipilih oleh rakyat untuk menduduki kerusi dalam Dewan Rakyat atau dilantik kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi kerusi Dewan Negara, mereka bertindak sebagai suara rakyat.
Bagaimanapun selepas 50 tahun, Pandikar berkata institusi itu mengalami perubahan ketara, khususnya daripada segi pengisian kerana anggota Parlimen kini mengamalkan sikap terbuka.
“Maksudnya keterbukaan dalam menyuarakan pandangan mereka tanpa mengambil kira sensitiviti kepelbagaian agama dan kaum yang membentuk masyarakat Malaysia,” katanya.
Keadaan itu, katanya, semakin menyerlah dengan kecanggihan teknologi maklumat yang memberi pendedahan meluas kepada mereka menerusi pelbagai saluran multimedia.
“Mereka menganggap bahawa kuasa yang ada pada mereka tidak mempunyai had lagi, seolah-olah mereka mempunyai lesen untuk mengeluarkan apa saja hujah yang mereka fikir baik untuk sekumpulan masyarakat yang mereka wakili.
“Dan bagi saya sistem demokrasi yang sebenar tidak begitu. Mereka harus bertangungjawab bukan saja kepada kumpulan yang mereka wakili tetapi bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.
Pandangan beliau turut dikongsi bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh yang berpendapat apa yang berlaku sekarang adalah sebahagian daripada cabaran kepada sistem demokrasi negara.
Ia berlaku apabila ada pihak enggan menerima suara majoriti yang menjadi intipati demokrasi, katanya.
“Setiap rakyat mesti terima biar apa pun pandangan kita, bersendirian atau berkelompok atau mengikut kaum yang mutakhirnya ialah pandangan majoriti dan keputusan majoriti.
“Selagi kepercayaan ini subur dalam masyarakat kita, kelangsungan demokrasi terjamin dan kelangsungan demokrasi berparlimen dan parlimen itu sendiri sebagai wadah demokrasi akan terjamin,” kata beliau.
Abdul Hamid juga berpendapat perubahan yang berlaku sekarang adalah sebahagian daripada evolusi dalam demokrasi yang semakin matang.
Katanya sejak pilihan raya umum Mac tahun lalu, senario di Parlimen membayangkan negara kini menuju kepada sistem politik dua parti seperti yang berlaku di kebanyakan negara yang telah lama mengamalkan demokrasi berparlimen.
“Politik yang mencorakkan Parlimen, jadi keputusan sedemikian rupa pada pilihan raya umum lalu membayangkan bibit-bibit evolusi demokrasi di tanah air ke arah sistem dua parti.
“Kalau kita menyelami sejarah dan kita lihat demokrasi yang telah matang seperti Perancis, Kanada sama saja. Semua bermula dengan banyak parti tapi mengalir jadi satu, dua atau tiga parti sahaja dan saya fikir Malaysia tidak terkecuali daripada arus perjalanan sejarah dalam demokrasi,” katanya.

5 comments:

MINDAGURU September 10, 2009 at 5:19 PM  

mari.. yang cintakan Malaysia terus mendoakan agar keamanan terpelihara serta pemisahan kuasa dan peranan pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman bertambah mantap.

Gaaman,  September 10, 2009 at 6:21 PM  

PEMBETULAN, Negara Malaysia hanya wujud 46 tahun lalu BUKAN 50 tahun!... Tarikh Lahir Gagasan/Negara MALAYSIA ialah pada 16 Sept 1963.

Tompinai,  September 11, 2009 at 6:51 AM  

betul tuan gaaman...pembentukan malaysia pada 16 september...tapi kita harus ingat selepas 31 ogos 57 iaitu kemerdekaan tanah melayu, kuasa penjajah beransur kurang dan sabah/sarawak juga pada masa itu sudah mula berkerajaan sendiri. dgn kata lain telah diberikan peluang untuk mentadbir tempat sendiri. selain itu PBB, telah mengarahkan agar semua tanah jajahan diserahkan kembali kepada penduduk tempatan secara berperingkat... maka itu, secara tidak langsungnya, sabah/sarawak pada masa itu sudah pun diberi kebebasan politiknya. hanya pada 16 september 1963 barulah, malaysia lahir. oleh itu, kekeliruan tentang tempoh wujud atau merdeka bukan jadi persoalannya...yang penting kita sebagai rakyat malaysia tahu bahawa kita sudah menjadi negara yang berdaulat....

Gaaman,  September 11, 2009 at 2:41 PM  

Untuk entri ini dan penjelasan Tompinai bahawa(selepas 31 Ogos 1957).. "kuasa penjajah beransur kurang dan sabah/sarawak juga pada masa itu sudah mula berkerajaan sendiri", tidak setuju.
Angka 50 dgn 46 tdk sama, jauh sekali bezanya. Apapun kemerdekaan sejak 46 thn lalu perlu dihargai dan dipelihara (walaupun hakikatnya sabah/sarawak msh ketinggalan/ditinggalkan??)

MINDAGURU September 11, 2009 at 11:48 PM  

Bah Tompinai om Gaaman, kita harap hari lahir Malaysia setiap 16 Sept seperti dalam surat beranaknya dapat dijadikan cuti umum negara..oleh kerajaan kita satu masa nanti.

Saya Sayang Malaysia,Sabah dan Kota Marudu.

Post a Comment

Followers

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP