nuffnang

Pages

BILA INI YANG TERJADI

Wednesday, June 24, 2009

ARKIB : 22/06/2009 ( Utusan Malaysia )

SMS

KATA orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah sering diucapkan mereka yang menghadapi masalah rumah tangga.

Tidak kena pada hidung sendiri, maka kita tidak akan tahu, itu juga yang dilaungkan para isteri yang tercalar hati kerana sikap suami menduakan kasih.

Amy (bukan nama sebenar) berusia 25 tahun, baru dikurniakan seorang bayi berusia enam bulan hasil perkahwinan dengan lelaki yang dicintainya selama tujuh tahun semasa menuntut di universiti.

Berulang kali Amy menelefon saya untuk berbual tentang rumah tangganya, kebetulan panggilan ketiganya dapat saya layan. Hampir sejam kami berbual.

Banyak yang Amy luahkan dalam esak tangis dan ketawa yang menyimpan pelbagai kisah suka duka setelah baru setahun jagung bergelar isteri.

Jodohnya dengan lelaki yang dipanggilnya Ari kini goyah gara-gara suami kaki perempuan. Beratus-ratus kali berjanji akan ubah perangai, sayangnya tidak menjadi. Itu juga yang berlaku.

Kelahiran bayi sulung juga tidak membawa banyak perubahan sebaliknya kata Amy dia yang terus makan hati. Di rumah perangai suami lain, di belakang pula lain.

Apa kata, kita kongsi masalah Amy seperti yang diluahkan kepada saya. Begini kisah Amy:

"Sebelum bernikah suami seorang kaki perempuan, tapi dia berjanji akan berubah setelah kami berkahwin. Saya memilih dia kerana dia memahami saya, penyayang dan mengambil berat.

"Pelbagai dugaan saya lalui sebelum berkahwin dengannya. Kami berkenalan semasa menuntut di universiti. Masa hendak mendapatkan suami dulu saya terpaksa korbankan hati dan perasaan sebab perangai kasanovanya itu.

"Walaupun ramai yang ingin mendekati saya, tetapi hati saya kuat mengatakan dia jodoh saya. Setelah bercinta hampir tujuh tahun, akhirnya kami dinikahkan pada November 2007.

"Saya sangka inilah pemberian terbaik Allah SWT untuk saya. Gembiranya hati saya hanya Allah saja yang tahu. Bukanlah saya tidak mensyukuri apa yang Allah kurniakan, saya benar-benar bersyukur.

"Tetapi sudah takdir saya begini. Lima bulan selepas bernikah, saya disahkan mengandung. Hati saya sangat gembira kerana doa saya untuk menimang anak secepat mungkin dikabulkan Yang Maha Esa.

"Saya mengalami alahan teruk semasa mengandung. Suami menjaga saya dan kandungan dengan baik. Tidak nampak tanda-tanda dia mengabaikan saya.

"Namun dalam usia kandungan baru mencecah dua bulan saya mula menerima dugaan yang hebat. Suatu hari saya terbaca e-mel suami yang masih berhubung dengan rakan Internetnya, seorang jururawat yang mengajak suami saya tidur bersamanya!

"Bingung saya seketika sebab tidak percaya suami saya sanggup menerima dan mengirim mesej seperti itu. Hancur luluh hati saya saat itu. Saya menangis semahu-mahunya. Kami bergaduh besar. Saya adukan sikap suami kepada mertua.

"Mujurlah saya mempunyai mertua yang sangat baik. Mertua membantu menyelesaikan kekusutan yang berlaku dan menyelamatkan perkahwinan kami.

"Masuk enam bulan kandungan, suami terpaksa keluar daerah kerana urusan kerja. Saya memberi sepenuh kepercayaan kepadanya walaupun berat rasa hati untuk melepaskan dia berjauhan dengan saya sebab saya tahu dia akan berubah sikap apabila di belakang saya.

"Sepanjang berada jauh dari saya, setiap masa dia menghubungi saya. Namun pada waktu malam, khidmat pesanan ringkas (SMS ) dan telefon saya tidak berjawab.

"Kemusykilan mula timbul dalam hati. Apa yang sedang berlaku? Saya dapat rasakan yang dia melakukan perkara buruk di belakang saya.

"Tekaan saya betul. Sebaik dia pulang, saya terjumpa rakaman hubungan seks suami dengan seorang wanita di dalam telefon bimbitnya.

"Ya Allah, amat berat dugaan yang Engkau berikan padaku. Hancur hati saya melihat suami sendiri menjamah wanita lain. Saya menangis dan meraung.

"Di rumah kami bergaduh besar, saya menunjukkan telefon bimbit yang merakamkan aksi melampau itu. Dia buat-buat macam tidak bersalah dan cuba berbaik-baik dengan saya, sekali lagi kami hampir bercerai kerana saya tidak sabar lagi diperlakukan begitu.

"Demi memikirkan masa depan bayi yang bakal lahir kami berbaik semula. Disebabkan terlalu tertekan, saya telah bersalin lebih awal lima minggu.

"Melihat sendiri saya melahirkan dan kesakitan yang dialami, menyebabkan suami berubah baik seketika dan lebih menghargai saya. Sepanjang berpantang di kampung dua bulan saya berjauhan dengan suami tetapi hujung minggu dia datang menjenguk kami dua beranak.

"Saya gembira kerana sangka suami telah bertaubat. Sebaik kembali ke rumah sehabis pantang, saya telah dikejutkan lagi dengan cerita baru. Rupa-rupanya suami ada lagi satu telefon bimbit lain yang disorok.

"Setelah memeriksa, saya dapati semuanya nombor wanita dan SMS berunsur lucah. Sepanjang saya berpantang, rupanya, suami menjalin hubungan sulit dengan seorang jururawat.

"Saya berjaya menghubungi wanita tersebut dan menghentikan hubungan terlarang itu dan menghamburkan kata-kata kesat kepadanya kerana melayan suami saya.

"Belum pun sebulan reda kes itu, saya mendapat khabar suami ada skandal dengan kerani baru di tempat kerjanya. Saya juga berjaya menghubungi wanita tersebut, tetapi dia enggan mengaku.

"Di depan saya dia menyatakan tiada apa-apa hubungan dan berjanji menjauhi suami saya. Tetapi rupanya semakin hari mereka semakin intim.

"Keadaan rumah tangga kami semakin genting sebab kami selalu bergaduh. Dia nekad untuk bersama wanita itu walaupun terpaksa meninggalkan saya dan anak kami.

"Tiada pilihan, saya akhirnya reda dengan apa yang berlaku sebab tidak mahu anak tidak mendapat kasih sayang bapanya. Pada masa sama, suami terus rapat dengan wanita itu sebab mereka selalu berjumpa di pejabat.

"Saya hilang daya untuk menangani masalah ini tetapi akan kuatkan semangat menanganinya. Nampaknya menyalahkan wanita lain juga tidak patut sebab kadang-kadang suami kita juga pandai cucuk jarum, kata orang bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.

"Air mata saya mengalir laju saat membaca semua SMS yang suami terima. Betapa murahnya wanita sekarang, boleh tawar diri untuk ditiduri oleh suami orang.

"Saya berdoa agar Allah SWT memberi kekuatan untuk saya menghadapi dugaan dan ujian hebat ini. Saya nekad, jika ditakdirkan jodoh saya sampai setakat ini, saya reda.

"Saya sanggup kehilangan suami yang tidak tahu menghargai isteri dan terus dijadikan barang mainan dalam rumah tangga.

"Kadang-kadang saya terfikir, anak yang saya lahirkan akan lebih sempurna hidupnya jika tidak mempunyai bapa seperti suami saya. Dengan kerjaya yang saya miliki, saya mampu memberi segala kesenangan kepadanya. Cuma yang saya tak mampu beri adalah kasih sayang seorang bapa.

"Kepada kaum wanita yang suka mengganggu suami orang, tolonglah hormat hak kaum sejenis anda. Jangan guris hati dan perasaan orang kerana satu masa nanti hati anda bukan setakat terluka malah akan terkoyak kerana perbuatan anda sendiri," Amy menutup cerita dengan kata-kata sinis.

Apa pun saya mengharapkan Amy akan terus tabah menjalani hidupnya bersama bayinya yang baru mengenal dunia serta berusaha menyelamatkan masjid yang dibina dengan kasih sayang dan rasa cinta.

Mengundur diri, pesanan saya, hidup tidak boleh hanya bergantung kepada soal hati dan perasaan kerana ada masa ia boleh menjahanamkan diri sendiri sebaliknya, kita harus memikirkan bagaimana menerima atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan situasi yang dilalui. Salam

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP