nuffnang

Pages

“Orang Bilang Ah Chong” paparkan kreativiti Tony.

Thursday, March 3, 2011


M6
Ah Chong dan Anthony dikejar oleh penjahat


SATU lagi telemovie karya pengarah terkenal Sabah, Tony Francis Gitom yang diterbitkan oleh Penampang Studio bakal berada di pasaran tidak lama lagi.

Memulakan pengambaran sejak 8 Januari lepas, telemovie yang bertajuk “Orang Bilang Ah Chong” dijangka selesai pertengahan Mac ini. Sesi pengambaran hanya diadakan pada hujung minggu sahaja.
Memaparkan elemen pengembaraan masa (time travel), telemovie ini sesuai untuk tontonan umum.
Ia mengisahkan kehidupan seorang ahli perniagaan yang kaya bernama Ah Chong (Tony Francis Gitom). Selepas datuknya meninggal dunia, Ah Chong membubarkan kumpulan kongsi gelap yang pernah diketuai oleh mediang datuknya dan menubuhkan syarikat perniagaan yang sah di undang-undang.
Cerita ini bermula apabila Ah Chong telah memecat seorang kakitangannya yang bernama Mark (Marc Abas). Mark tidak berpuashati dan berniat untuk membalas dendam.

Suatu hari Mark membuat rancangan untuk membunuh Ah Chong bersama seorang broker tanah, Getiu (Satius Gautong). Getiu telah mengajak Ah Chong yang turut ditemani oleh pengawal peribadinya, Anthony (Anthony G. Josson) melihat sebuah kawasan tanah. Mark telah mengupah 3 orang penjahat (Shahqiu Jubag, Mazeri Kulandu dan Ambrose Anthony) untuk membunuh Ah Chong dan Anthony.
Menyedari semuanya hanyalah perangkap, Ah Chong dan Anthony segera berlari menyelamatkan diri ke hutan.

Tiba-tiba Ah Chong dan pengawal peribadinya berada di dunia silam melalui pengembaraan masa. Ah Chong berada di tahun 1976, sehari sebelum kejadian ‘Double Six’ dan Anthony terperangkap di zaman purba.

Apakah yang akan berlaku pada Ah Chong dan Anthony? Saksikan kesudahannya menerusi telemovie yang bakal berada di pasaran bulan April nanti.

Dibintangi oleh Tony sendiri dan Anthony G. Josson sebagai pelakon utama, telemovie ini pasti mampu menarik perhatian ramai.

“Orang Bilang Ah Chong” turut membariskan beberapa pelakon undangan seperti Simon Bukag, Satius Gautong, Primus Goduli, Kristo Umok, Soley Maubil, Atama dan Max. Selain itu, lebih daripada 20 orang peserta bengkel senilakon turut menjadi pelakon pembantu dalam telemovie ini.

Sesi pengambaran dilakukan di sekitar Penampang seperti Kampung Hungab, Inobong, Sungai Babagon, Pekan Donggongon dan Pusat Latihan Seni Gitom di Kampung Sukod.

Para peminat telemovie tempatan boleh berkunjung ke laman sosial Facebook (FB) Tony Francis Gitom untuk menonton klip promo “Orang Bilang Ah Chong”.

Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP