YINGLUCK (tengah) bersama pemimpin parti yang bakal membentuk kerajaan campuran dari kiri, Wannarat Charnnukul dari Parti Chart Pattana Puea Pandin; Ketua Penasihat Parti Chat Thai Pattana, Sanan Kachornprasart ; Pemimpin Puea Thai, Yongyuth Wichaidit dan pemimpin Palang Chon, Chao Maneewong.
Pemerhati anggap ekonomi cabaran terbesar bakal Perdana Menteri baru Thailand
BANGKOK: Bakal Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra semalam menyifatkan masih terlalu awal untuk memutuskan ahli kabinet baru ketika persaingan bagi jawatan bermula manakala pelabur melahirkan kebimbangan mengenai dasar popular beliau bakal mencetuskan inflasi dan kenaikan kadar faedah.
Menteri yang menjadi pilihan Yingluck perlu mengurangkan kebimbangan pelabur mengenai kemungkinan amalan kronisme dan pihak yang bimbang kepulangan abangnya, Thaksin Shinawatra, selepas parti Puea Thai mendapat kemenangan besar pada pilihan raya, Ahad lalu.
“Pada masa ini belum ada rundingan mengenai Kabinet,” kata Yingluck kepada pemberita.
Satu Kabinet dikuasai menteri pro-Thaksin akan melemahkan kedudukan Yingluck yang menggesa persepakatan politik yang dilanda krisis enam tahun lalu.
“Tugas Yingluck terpenting dan mencabar adalah menghapuskan kecurigaan di kalangan ahli politik daripada parti lain,” kata penulis akhbar The Nation, Avudh Panananda.
“Kepemimpinan Yingluck akan diuji apabila beliau memilih Menteri Pertahanan, Dalam Negara, dan Kehakiman.”
Bukan mudah untuk berdamai dalam politik. Thailand masih lagi berpecah antara kem pro dan anti- Thaksin. Oleh itu, konfrontasi dilihat tidak dapat dielakkan pada ketika tertentu.
Papan tanda di satu lebuh raya di Bangkok merujuk kemungkinan Thaksin akan kembali dan kes rasuah beliau dibatalkan.
Poster kerajaan pro-Yingluck pada sebelah jalan lain tertulis: ‘Birokrat elit, berhenti campur tangan, rakyat Thailand sudah membuat pilihan.’
Keputusan pilihan raya terbaru juga dilihat sebagai penolakan campur tangan tentera yang menjadi tradisi Thailand, pengaruh golongan kaya, dan penasihat diraja yang menyokong kerajaan lalu.
Jadi, penerimaan tentera atas keputusan undi terbaru menambahkan kestabilan di negara itu yang dilanda rusuhan sejak askar merampas kuasa untuk menyingkirkan Thaksin pada 2006.
Tetapi, ramai yang percaya bahawa ia mungkin kestabilan jangka pendek, sama ada sekejap atau lama masih lagi tidak dapat ditentukan, terutama jika kerajaan baru memberi pengampunan kepada kesalahan politik dan membenarkan Thaksin kembali ke negara itu sebagai orang yang bebas.
Pakar ekonomi dan beberapa media berkata bahawa isu yang paling menekan Yingluck adalah untuk menguruskan ekonomi negara kedua terbesar Asia Tenggara itu dan tidak terlalu terikat dengan isu penyatuan semula kebangsaan.
Yingluck bercadang melancarkan program popular Thaksin bagi meningkatkan perbelanjaan rakyat dan inflasi, termasuk perluasan sistem kereta api bawah tanah dan kereta api berkelajuan tinggi hingga kenaikan gaji dan membantu meningkatkan kuasa belanja terutama di luar bandar. – Reuters
Sumber: Berita Harian Online
Ulasan: Satu Pilihanraya yang aman di Thailand. Kemenangan Yingluck menobatkan dia wanita pertama menjadi Perdana Menteri Thailand. Apakah perubahan kepimpinan kerajaan Thailand menjadi petunjuk kepada berakhirnya kekacauan politik Thai. Kita sering mendapat berita yang bilamana berlaku ketidakpuasan hati atau ketidakadilan, perhimpunan jalanan akan berlaku. Pasti sukar diramalkan. Apa pun, semuanya terletak pada tangan rakyat Thai sendiri. Samaada mereka suka atau tidak, peluang itu mesti diberi. Apa yang berlaku di Thai boleh menjadi rujukan kepada kita di negara ini. Sesuatu perubahan dapat dicapai memlalui cara yang betul. Bila kita mampu meyakinkan orang lain.
Read more...